Dalam menelusuri kehidupan seharian manusia akan berhadapan dengan pelbagai rencam peristiwa. Ada berunsur positif sebahagiannya pula bersifat negatif.
Untuk bahagian positif, jiwa boleh menerima dengan baik bahkan akan membawa kebaikan. Nilai positif yang berkumpul banyak akan menerbitkan satu nilai kehidupan yang membawa ke tahap kesejahteraan hidup.
Manakala unsur negatif yang banyak dari pelbagai sumber dalam diri seseorang sedikit demi sedikit akan membawa kepada kemusnahan diri individu tersebut. Kerosakkan adalah satu proses yang panjang malahan ia berlaku tanpa disedari oleh personalia terbabit.
Namun demikian, kerosakkan diri tidak jadi begitu sahaja. Allah dalam penciptaan manusia membekalkan pada diri setiap manusia satu sistem pertahanan kendiri yang sangat ampuh yang dikenali sebagai nafs lawwamah.
Nafs lawwwamah adalah jiwa yang mencela. Nilai consciousness - kesedaran yang dibekalkan secara semulajadi dalam diri manusia. Ia adalah neraca 'check and balance' sangat ampuh. Satu anugerah istimewa Allah untuk kehidupan. Pembeza haq dan batil. Positif dan negatif. Baik dan buruk. Begitulah seterusnya.
Apa itu nafs lawwamah? Adalah tenaga dalaman diri manusia yang muncul secara tabie untuk mencela apa-apa perlakuan yang bertentangan dengan garis agama, budaya, kemanusiaan dan seumpamanya.
Dalam kata mudah ia adalah 'internal defense mechanism' yang sangat luhur, fitri dan autentik. Ia akan secara automatik menegur diri manusia apabila melanggar sempadan kehidupan.
Ada dua kemungkinan akan berlaku apabila lawwamah membisik dalam jiwa. Samada manusia akur dan melakukan pembetulan dan perbaikan untuk kesejahteraan diri. Ataupun ia engkar lalu terus langgar dan melakukan kesilapan demi kesilapan.
Kesilapan yang berterusan akan membengkak lalu membentuk kerosakan buat diri tersebut. Kerosakan yang akan membawa kepada munkar dan fahsya' yang lebih besar.
Comentários