Sesungguhnya manusia adalah makhluk ciptaan Allah. Segala macam kesakitan, kerosakan akhlak, perbaikan qolbu dan kesejahteraan mental sewajarnya bertunjang kepada Allah sebagai sumber penyembuhan utama.
Jiwa pada istilah al-Quran adalah nafs atau alNafs(tergantung pada konteks). Komponen insan terhubung dengan jiwa adalah nafs, akal, qolbu dan ruh. Justeru sebarang tingkahlaku manusia akan berinteraksi langsung dengan keempat-empat anggota utama tubuh ini.
Kesakitan manusia bermula apabila qolbu mereka melayan emosi yang tidak rasional akibat was-was syaitan. Syaitan menanam keraguan lalu mendatangkan rancangan buruk melalui akal manusia yang sangat logikal, struktural dan pelbagai potensi lagi. Lalu timbullah bermacam angkara penyakit hati seperti prasangka, keraguan, hasad, iri hati, ananiyyah, riya', dendam, marah dan sebagainya. Lebih besar lagi adalah sifat mazmumah(terkeji). Lebih parah adalah timbulnya nafsul ammarah.
Sakit hati yang tidak dirawat bermula sekadar 'mild syndrome' untuk jiwa sahaja. Untuk peringkat awalnya, anjuran Ilahi adalah membanyakkan istighfar dan amalkan sayyidul istighfar untuk memohon keampunan.
Namun penyakit hati yang dibiarkan terus bertumbuh kembang akan membentuk nafsul ammarah - jiwa yang melampau, mengarah. Ammarah akan membawa manusia kepada perilaku yang buruk. Ia tergantung juga jenis ammarah yang dialami oleh seseorang. Ada banyak perilaku ammarah dalam kehidupan manusia.
Jika penyakit hati tersebut membarah, mengesankan jiwa seseorang dengan memberi kesakitan yang kuat. Ini memungkinkan wujudnya 'disorder' yang mengganggu normaliti akal berfikir dan bertindak. AlQuran menyebutnya sebagai alNafs al-Ammarah(jiwa yang bersifat bersangatan melampau). Ada banyak perilaku bersifat melampau boleh berlaku dalam kehidupan seharian manusia. Apabila ia menjadi sifat sejati yang dilazimi, maka individu perlulah lebih berwaspada dan sentiasa berusaha merawat kesakitannya.
Rawatan untuk Al-Nafs al-Ammarah adalah berusaha mendapatkan kasih dan rahmah Allah. Menjadi hambaNya yang memenuhkan diri dengan sifat yang boleh beroleh kerahmatan dan redha Allah.
Ia selaras dengan firman Allah dalam Surah Yusuf: 53 bermaksud
'Tidaklah aku melepaskan diriku. Sesungguhnya jiwa yang bersifat ammarah membawa kepada keburukan kecuali mereka yang mendapat belas rahmat tuhanku'.
Adalah amat penting untuk menyediakan dirinya dengan kualiti 'rahmat' tersebut melalui perbaikan nafs, akhlak, tingkahlaku, qolbu dan akal.
Di samping itu terus menerus fokus berdoa kepadaNya, memohon agar diberi kesejahteraan hidup, diberi kesihatan qolbu jauh dari segala gangguan dan tipu daya syaitan serta sentiasa mengharapkan mendapat rahmah dan kasih, bimbingan dan petunjuk Ilahi. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dihujung firmannya tersebut.
Comments